Young Tigress Ratah Uzbekistan | AKADEMI SUKAN
» BERITA » Young Tigress Ratah Uzbekistan

Young Tigress Ratah Uzbekistan

Aksi Kirandeep Kaur Gurdip Singh ketika perlawanan menentang Uzbekistan, hari ini. Foto: Ihsan AHF

 

KUALA LUMPUR: Skuad hoki remaja wanita negara meraih kemenangan kedua di perlawanan ketiga peringkat Kumpulan A Piala Remaja Asia sekali gus mencerahkan peluang buat mereka untuk separuh akhir.

Skuad bimbingan Lailin Abu Hassan berjaya menumbangkan Uzbekistan 12-0 di Stadium Hoki Kawasaki Heavy Industries di Kakamigahara, Jepun hari ini dan keputusan itu hanya dibezakan satu mata berbanding pendahulu India dan penghuni tangga kedua Korea Selatan dalam carta kumpulan.

Dalam satu lagi perlawanan, kedua-dua pasukan yang berada dalam kelompok dua teratas - India dan Korea Selatan - masing-masing terikat 2-2 dan ia menyaksikan mereka kini berkongsi tujuh mata dengan India masih berada di puncak menerusi perbezaan jaringan gol.

Dalam pada itu, Lailin berkata, dia berpuas hati dengan persembahan pemain menjelang aksi wajib menang ke atas Korea Selatan pada aksi terakhir peringkat kumpulan, Khamis ini.

"Saya berpuas hati dengan 12 gol yang dihasilkan kerana ia merapatkan jarak perbezaan gol dengan Korea Selatan untuk membuka laluan ke separuh akhir nanti," kata Lailin. "Begitupun saya melihat masih ada kelemahan dari segi asas hoki dan taktikal yang perlu diperbaiki menjelang aksi penting bertemu Korea Selatan.

"Saya berharap pemain cepat menyesuaikan diri dengan taktikal yang akan dirancang kerana Korea Selatan antara pasukan pilihan dan berpeluang untuk melayakkan diri ke separuh akhir."

Dalam aksi menentang Uzbekistan hari ini, dua pemain, Dian Nursyakira Najwa Al-Wadqa Nazeri dan Zati Alyani Muhamad Zubir masing-masing meledak hatrik buat skuad Young Tigress.

Kirandeep Kaur Gurdip Singh dan Norshafiqha Ishak pula masing-masing menjaringkan dua gol selain satu jaringan daripada Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin serta Nur Shamine Azureen Mohammed Badusha melengkapkan kemenangan besar skuad negara.

Semalam, skuad negara memberi tentangan sengit ke atas India sebelum terpaksa akur tewas tipis 1-2.

 

https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2023/06/1110875/young-tigress-ratah-uzbekistan

 

Sumber : bharian

Tarikh Input: 06/06/2023 | Kemaskini: 06/06/2023 | m_rizal

PERKONGSIAN MEDIA

AKADEMI SUKAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXFCMA4~