Selamat datang ke Akademi Sukan, Universiti Putra Malaysia!
Akademi Sukan merupakan sebuah entiti yang menyumbang kepada pencapaian universiti melalui penyediaan perkhidmatan profesional, perundingan dan penyelidikan sukan untuk menyokong dasar dan pembangunan sukan negara. Misi Akademi Sukan ialah menjadi peneraju kecemerlangan sukan di IPT dan Malaysia amnya sekaligus meningkatkan visibiliti UPM.
Bermula pada 3 Februari 2022, Akademi Sukan dan Pusat Sukan telah digabungkan menjadi satu entiti yang bernaung di bawah Pejabat Naib Canselor UPM dengan membawa nama Akademi Sukan. Ini adalah salah satu strategi universiti dalam melaksanakan penilaian ke atas transformasi governans. Dengan pembentukan Pelan Tindakan Akademi Sukan 2022-2025 bertepatan dalam memastikan setiap perancangan serta gerak kerja selari dan jelas demi pembangunan sukan yang lebih signifikan berpandukan Pelan Strategik UPM dan menjayakan True North UPM.
Pelbagai aktiviti, program dan hala tuju yang dijalankan sebelum ini masih dikekalkan, malah ada juga pembaharuan yang akan turut diperkenalkan. Sebagai contoh, Akademi Sukan akan memperkasakan fungsi perkhidmatan, pengurusan dan penyelidikan entiti Sukan UPM dalam usaha menghasilkan atlet-atlet UPM prestasi tinggi. Selain itu, Akademi Sukan juga turut membantu universiti untuk menjadi sebuah universiti rujukan dan bereputasi antarabangsa dalam bidang kecemerlangan sukan dengan memaksimumkan penggunaan sumber dan kepakaran berkaitan bidang sains sukan di UPM seterusnya mencapai taraf HICOE teras perkhidmatan.
Disamping itu, Akademi Sukan juga berperanan membentuk dan mengendalikan Pusat Kecemerlangan Sukan yang akan menjadi tonggak utama Akademi Sukan pada masa kini. Tugas dan tanggungjawab ini jelas membuktikan bahawa Akademi Sukan telah diberi kepercayaan oleh pihak UPM untuk meneruskan tradisi kecemerlangan sukan yang sememangnya menjadi salah satu tunjang kegemilangan UPM sendiri. Walaupun aktiviti dan fokus Akademi Sukan semakin berkembang, namun aktiviti penjanaan ilmu masih giat dijalankan melalui bidang penyelidikan yang turut menyumbang ke arah peningkatan taraf sebagai universiti penyelidikan.
Akademi Sukan sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berminat untuk memohon geran penyelidikan melalui Akademi Sukan atau dalam apa jua aspek bagi memenuhi tujuan dan matlamat tersebut.
Akademi Sukan komited untuk terus bergerak maju ke hadapan terutama dalam memartabatkan industri sukan yang semakin banyak memberi sumbangan dan mengharumkan nama negara.
Lawatilah laman sesawang ini untuk mengetahui maklumat terkini mengenai sukan, perkhidmatan, kepakaran, penyelidikan dan juga aktiviti semasa.